Sabtu, 17 Disember 2011

~ Permata Untuk Isteri Ku : 17/12/2011 segalanya bermula ~

Assalammualaikum untuk semua dan khasnya buat yang dikasihi adinda ku Fahimah Binti Ab. Hadi. Bermula hari ini 17/12/2011 bersamaan 21 Muharram 1433H hari Sabtu tepat detik jam 14.45 kita telah selamat di ijab kabulkan dengan dua kali lafaz, maka sahlah kanda kini bergelar suami kepada adinda. Lagu ini khas kanda titipkan buat adinda.....


Hari ini bermulalah segalanya, kehidupan baru bagi kita berdua bergelar suami isteri. Menyingkap beberapa bulan yang lalu, tiada sangka dihati kita masing masing untuk kita ke puncak asmara. Namun atas ketentuan NYA Yang Maha Pencipta dan Maha Mengatur segalanya....kita bertemu jodoh dan diijab kabulkan hari ini.

Bermula hari ini kita akan bersama mengharungi apa jua keadaan dalam kehidupan ini. Suka duka, sedih hiba, gembira riang dan tawa segalanya akan kita lalui bersama.Asam garam kehidupan sebagai suami isteri harus ditempuhi bersama dengan penuh kesabaran. Kehidupan ini pastinya penuh cabaran dan rintangan yang kita sendiri tidak pasti dan tidak akan mampu menduganya. Inilah rahsia kehidupan. Ianya ibarat sebuah perjuangan yang memerlukan pengorbanan. 

Tulisan terbaru ini sebagai satu simbolik kenangan indah pada malam pertama kita berdua untuk disingkap suatu hari nanti di usia mendatang. Sebagaimana yang telah kanda nyatakan, hidup ini penuh tidak pasti, namun kita tidak boleh menoleh kebelakang. Kita mesti mara ke hadapan menongkah arus dan segala onak ranjau berduri.

Ingatlah, sedangkan lidah lagikan tergigit apa pula hubungan suami isteri. Hayatilah buang yang keruh ambil yang jernih.....

Kesabaran dan kejujuran amat penting dalam mengharungi kehidupan bahtera rumah tangga ini. Ianya bukan sekadar hanya perlu diungkap dibibir sahaja. Ianya perlu dihayati dan dipraktikan. Sebagai insan pastinya kita tidak mungkin akan terlepas dari melakukan kesilapan.
Namun sebagai insan, kita diberikan oleh ALLAH SWT nafsu, akal dan iman. Gunakanlah akal dan iman itu sebaik mungkin. Bertindak ikut akal dan iman, bukan bertindak melulu mengikut nafsu dan emosi.

Sebagaimana adinda mengharapkan " Rumah Ku Syurga Ku " ; samalah kekanda juga mengharapkan begitu. Sama samalah kita menghadapi dan mengharungi apa jua rintangan yang bakal tiba dihadapan kita dalam meniti perjalanan kehidupan ini.

Bersamalah kita berdoa memohon kehadrat ALLAH SWT agar memberikan kasih sayang dihati kita berdua berkekalan sehingga ke akhir hayat. Semoga IA melimpahkan rahmat dan berkat serta rezeki dan nikmat NYA buat kita berdua sehingga ke akhir hayat. kita berdua Kerana sesunguhnya segalanya termaktub di bawah Kekuasaan NYA, apa yang terjadi ini kan tetap terjadi. Sebagaimana firman NYA dalam Al Quran Surah Ar Rum (30) ayat 21, bermaksud 

" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat NYA, bahawa IA menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan 
NYA di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir "

Akhir sekali kanda titipkan lagu nostalgia dari filem Anak Ku Sazali karya Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang berjudul Tanya Sama Hati. Terkandung mesej dalam bait lirik lagu itu, apa tanda sayang...kemesraanlah jawapannya. Kalau hilang kemesraan antara kita berdua, maka akan hilanglah sedikit demi sedikit kasih sayang antara kita nanti. Kasih sayang sesuatu yang bersifat baru. Ianya perlu disemai dan dipupuk setiap hari, sebagaimana yang terkandung dalam kisah Saidatina Aishah yang menyingkah betapa romantiknya Baginda Rasullullah SAW sebagai si suami. Biar usia merubah kita, namun jangan benarkan usia merubah kasih sayang antara kita berdua menjadi berkurangan. Biarkan usia menambahkan kasih sayang antara kita berdua hendaknya.

Dalam filem Anak Ku Sazali juga, ianya tersingkap secebis kisah perjalanan membesarkan seoarang anak dengan penuh kasih sayang yang akhirnya memakan diri sendiri....renungilah ia dan fahamilah yang tersirat disebalik apa yang tersurat itu.

Sekian untuk kali ini buat adinda ku yang dikasihi Fahimah Binti Ab. Hadi, Permata Untuk Isteri Ku khas buat mu di malam pertama kita bergelar suami isteri. Terima kasih kerana adinda dan sesiapa juga yang sudi membacanya. Catitan ini sebagai satu nukilan untuk ditatap dihari mendatang sebagai satu kenangan memori kehidupan. Dengan Nama MU Ya ALLAH Yang Maha Agung. Syukur ku ke hadrat MU kerana menemukan aku dengan seseorang yang kini telah bergelar isteri ku. Pendamping hidup ku, teman kehidupan siang dan malam ku. Alhamdulillah....syukran jazilan.


Wassalam.....

Muhammad Bin Musa
Kamar Pengantin
No. 572, Kg. Pajak Song,
Kepala Batas, Seberang Perai Utara
Pulau Pinang

4 ulasan:

Violet ~ my Truth Life berkata...

tahniah!! baguq na hang dpt org png..

Apple mango berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Apple mango berkata...

wow!!!! ayat x bleh blah.... hahaha.... take care my sis yer.... klau ada arwah mama pasti arwah mama yg org paling gembira... anak yg paling mama jaga n mama risau telah sah menjadi isteri org....sampai sehari sblum arwah mama pergi pun mama still lg risau pasal kak imah.... adik doakan moga abg mat n kak imah bahagia hgga ke akhir hayat yer..... tahniah (^_^).... adik happy sgt kak imah dah kawen...:)

merak kayangan berkata...

kenangan hanya tinggal kenangan....semoga abang aman di sana....