Selasa, 9 Ogos 2011

.: BINGKISAN CATITAN SEBUAH PERJALANAN ~ UMRAH KU :.

.: BINGKISAN CATITAN SEBUAH PERJALANAN ~ UMRAH KU :.
Episod 2 : Pasca Perjalanan & Sesudah Perjalanan

Tahun 2007, kalau di ikutkan aku pada masa itu, bukanlah dalam keadaan mewah, aku telah berhenti ketika itu dari menguruskan kiosk di satu lokasi pelancongan di kawasan Taman Tasik Perdana Kuala Lumpur.

Namun ketika itu, rezeki ALLAH berikan kepada aku dan sahabat agak lapang dan murah. Lantaran itu tercetuslah niat untuk kami kesana.

Aku teringat satu potongan ayat suci Al Quran, Surah Al Hajj (22) ayat 27
“ Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh ”.

Sekiranya kita perhalusi ayat diatas, inilah ketentuan takdir ALLAH SWT. Bilamana ianya telah menetapkan seruan keatas seseorang itu, makanya dengan merangkak atau menaiki unta yang kurus ianya akan hadir mengunjungi ke Baitullah itu. Itulah rahsia dan ketentuan ALLAH SWT. Sesungguhnya kurniaan nikmat NYA amat luas.

Pasca Perjalanan…..

Hati aku mulai terdetik untuk menunaikan ibadah umrah seingat aku seawal Januari 2007. Ketika itu, jauh disudut hati dan perasaan aku diulit keresahan kerana seseorang yang bertakhta dihati ketika itu.

Ketika Mac 2007, sahabat aku mulai berminat dan serius untuk melakukan Umrah bersama, Lantas kami mengambil kata sepakat. Ketika itu hati aku agak keberatan untuk mendapat keizinan dari ibu aku.

Aku menyuarakan hasrat pertama kali, beliau ingin ikut. Bukan niat aku tak nak bersama menunaikan ibadah umrah bersamanya, namun keadaan disana aku sendiri tidak pasti. Apa mungkin akan menganggu aku ketika ibadat nanti tentang keadaan ibu aku jika kesana.

Agak lama juga untuk aku mendapatkan keizinannya, sehingga lah aku suarakan buat kali kedua kalau tak silap aku pada malam 20Mac2007 sempena hari kelahiran aku. Ibu aku memberarkan dengan hati yang terbuka. Alhamdulillah, aku bersuyukur kehadrat ilahi.

Lantas kami berdua sepakat mendaftar ke agensi naungan Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) dengan pakej tarikh yang dipilih ialah 11 hingga 21 Jun 2007.

2006 aku masih berkerja di sebuah kiosk di Tasik Perdana, ketika musim cuti bagi negara negara arab, aku banyak menerima kunjungan pelancong dari sana. Bermacam ragam jenis manusia ini ALLAH SWT jadikan. Dikalangan mereka itu terdapat pelancong yang berasal dari Kota Mekah atau Kota Madinah, Arab Saudi.

Kelazimannya, jika aku berjumpa dengan mereka ini aku sering berbicara bersama mereka. Majoriti mereka ini agak peramah dan sopan dalam berbicara dan mereka agak mengusai bahasa inggeris. Ini memudahkan perbualan kami dan ini juga mungkin kerana mereka sering menerima kunjungan masyarakat Islam dari negara luar yang berkunjung ke Tanah Suci.

Kelebihan yang ada pada aku, iaitu nama aku, yang aku hanya sekadar meminjam dari insan agung, Rasullullah SAW telah memberikan sedikit kelebihan pada aku. Mereka agak terkejut dan teruja serta menghormati pada nama ini. Setiap kali pengakhir bicara aku sering meminta mereka menyampaikan salam ku ke Baitullah atau ke Rasulullah SAW bila mereka pulang nanti. Aku juga sering memohon agar mereka mendoakan aku agar segera ke sana bagi menunaikan umrah atau haji.
 
Makanya, aku kira mungkin kerana faktor faktor inilah penyebab dan dengan keizinan ALLAH AZAWAJALLA aku berkesempatan menunaikan ibadah umrah dalam usia yang agak muda dan dalam keadaan kewangan yang agak terhad ketika itu.

Ada segelintir sahabat aku terkejut kerana keadaan kewangan aku masa itu, namun mereka tetap bersyukur kerana aku berkesempatan terlebih dahulu dari mereka untuk kesana.

Awal 2007, aku memilih untuk berhenti dari menguruskan kiosk berkenaan. Aku tidak berkerja ketika ini, hanya menjalankan sedikit perniagaan bersama sahabat aku. Awal 2007 perjalanan aku agak berliku….macam macam perkara yang terjadi menimpa. Namun itulah ketentuan dan rezeki nikmat dari NYA. Aku redha dan pasrah dalam menerima ketentuan takdir ini.

Perjalanan ku disana dan sepanjang berada disana, cukup indah. Tiada kata yang dapat aku tinta untuk aku mengambarkan betapa keindahan nikmat kurniaan NYA ketika aku disana. Ketenangan jiwa dan keriangan perasaan melupakan segala apa juga yang melanda aku ketika sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Menziarahi Makam Baginda SAW menitiskan air mata ku tanpa disedari ketika pagi hari pertama aku di Madinah Al Mukarramah. Menziarahi Masjid Quba' dan Masjid Qiblatien serta makam Para Syuhadah di kawasan Bukit Uhud. Pertama kali melihat Baitullah (Kaabah) hati begitu teruja dan sayu sekali. Sekali lagi membuatkan air mata aku mengalir tanpa disedari. Kenikmatan air zam zam begitu terasa sekali. Berada dipuncak Jabal Rahmah, tempat dimana pertemuan semula Adam AS dan Siti Hawa AS buat pertama kalinya di muka bumi ALLAH ini memberi aku satu pengertian yang begitu besar buat aku. Aku berdoa disitu memohon sesuatu dari ALLAH Yang Maha Pencipta.

di perkarangan Makam Syuhadah Uhud, Bukit Uhud

di puncak Jabal Rahmah. aku menyeru berdoa namanya disini

Sesudah Perjalanan…..

Ketika mula kaki menjejaki bumi Malaysia (KLIA)…aku diserang batuk yang agak kuat. Mungkin kerana faktor cuaca. Hampir empat hari batuk aku itu. Namun apa pun aku bersyukur kerana sepanjang di Tanah Suci aku diberikan oleh NYA kesihatan dan kekuatan yang amat baik sekali.

Selepas beberapa bulan kembali dari menunaikan ibadah umrah ini, perniagaan aku dengan rakan agak tidak menentu. Akhirnya kami mengambil keputusan berhenti, dek kerana itu beban hutang yang aku tanggung pada ketika itu hampir RM 50 000.00. Alhamdulillah, kini ianya telah diselesaikan....

Ramadhan dan Syawal pada tahun 2007 menyaksikan segala sendiwara selama ini terjawab sudah. Lamaran aku ditolak. Peristiwa di Slim River tidak pernah aku lupakan….pertunangan hampir 10 bulan dirahsiakan dari pengetahuan aku…..

Satu demi satu dugaan menimpa. Itulah ketentuan NYA. Sekiranya DIA ingin berikan nikmat kebahagian tiada siapa yang mampu menghalangnya dan sekiranya IA ingin memberikan dugaan tiada kuasa yang boleh menghalangnya juga. Aku terima apa juga dugaan ini dengan hati yang tabah dan aku redha.

Atas isu ini, ramai sahabat aku juga terkejut, kerana mengapa perlu dirahsiakan? Itulah yang memusykilkan aku. Akhirnya aku mengambil keputusan berundur diri dan langsung tidak ambil tahu…..penutupan sebuah kisah, pengakhiran secebis kenangan yang pahit.

Itulah rahsia NYA, satu keadaan aku begitu gembira dengan nikmat kurnian NYA ketika aku menjejakan kaki di Tanah Suci dan satu keadaan lagi, dugaan dan cabaran yang harus diharungi…apa pun aku tetap bersyukur dengan apa yang terjadi ini. Aku hadapinya dengan senyuman dibibir. Apa yang terjadi, kan tetap terjadi dan akan terjadi.

Sekian, untuk episod kedua ini. Maaf sekiranya ada yang tersinggung dengan nukilan ini. Tiada niat untuk membongkarkan kembali kisah silam. Tapi telah aku jelas pada awal penulisan tajuk ini, ianya sekadar catitan hidup dihari mendatang. Terima kasih kepada yang sudi mentelaahnya. Ikuti kisah aku ketika di Tanah Suci pula dalam episod ketiga…wassalam

di ladang unta, ketika dalam ihram