Isnin, 31 Oktober 2011

.: BINGKISAN CATITAN SEBUAH PERJALANAN ~ UMRAH KU :.

.: BINGKISAN CATITAN SEBUAH PERJALANAN ~ UMRAH KU :.
Episod 4 : Penutup
  
Pada catitan ke 4 ini aku mencoretkan secara kesimpulan pengalaman, iktibar, pengajaran, kisah suka duka dan apa jua yang tersingkap sepanjang perjalanan hidup aku yang singkat di bumi suci Mekah Al Mukarramah dan Madinah Al Munawwarah, disamping itu juga serba sedikit kenangan ketika sebelum dan selepas perjalanan umrah ku ini. Aku amat bersyukur ke hadrat NYA kerana memberi aku lidah, pena, akal dan hati untuk terus menukilkan butiran kata sebagai tatapan dihari tua. Biar jari jemari menari menaip menzahirkan apa yang terbuku di hati ku ini….

Pada awalan episod ini aku ingin merakamkan setinggi tinggi syukur kehadrat ILAHI atas kesempatan yang diberikan kepada ku untuk menjejakkan kaki menziarahi Baitullah NYA. Selawat dan salam aku tujukan khas buat junjungan besar Baginda Nabi Muhammad SAW serta isteri isterinya, anak anak nya, sahabat sahabatnya serta kaum keluarga Baginda SAW lainya dan seluruh muslimin dan muslimat lainya.

Terima kasih aku yang teramat amat khas aku tujukan kepada insan sahabat ku Mohd. Imran Bin mohd Razali kerana sudi berkongsi rezeki serta kisah suka duka untuk bersama sama ke tanah suci pertama kalinya. Tidak mungkin untuk aku lupakan kisah dan jasa ini.

Sepanjang aku di tanah suci banyak mengajar aku erti “ SABAR ” dalam hidup. Elemen yang amat penting sekali. Lebih lebih lagi dalam ketika beribadah. Baitullah saban hari menerima kunjungan tetamu NYA tanpa henti. ratusan ribu umat Muhammad SAW berada disana untuk beribadah. Hadirnya semua ini sama seperti aku, dengan niat dan tujuan yang sama. Tanpa mengenali antara satu sama lain. Datang dari segenap pelosok dunia. Akan tetapi kita disatukan dengan satu ikatan yang dinamakan ukhwah / silaturahim.

Kita bersolat menyembah dan memuji hanya tuhan yang satu. Tuhan Yang Maha Esa iaitu ALLAH AZAWAJALLA. Didalam ratusan umat itu, terdiri dari berbagai suku dan bangsa. Makanya terdirilah kami semua di sana dalam berbagai ragam manusia. Berbagai saiz manusia. Berbagai sosia budaya yang mempengaruhi kehidupan seharian di negara asal. Atas faktor inilah sabar amat penting.

Sabar perlu senantiasa disematkan didalam jiwa nurani ketika berada disana. Apatah lagi ketika dalam ibadah. Tanpanya, kita pasti akan tergocoh gocoh atau gopoh melanggar apa jua atau sesiapa juga lebih lebih lagi ketika ibadah tawaf atau pun ketika melakukan saie. Dengan ruangan yang agak terhad, bayangkan…… Dek kerana itulah sabar amat penting.

Lantaran itu aku mempelajari sabar ini sebagai satu ramuan wajib dalam apa juga urusan ku seharian. Keduanya perlu hadir ialah “ REDHA ”. Ini juga satu tindakan hati yang amat sukar untuk dilakukan. Redha atau dalam erti kata lainya menerima apa juga yang telah ditentukan oleh PENCIPTA dengan hati yang terbuka.

Sabar & Redha perlu diterapkan dan disemaikan dalam jiwa dan perlu dihayati dalam seharian kehidupan kita sebagai insan, makhluk dan hamba NYA. Tiada apa yang dapat kita lakukan bilamana IA telah mengatakan atau mengaturkan sesuatu itu buat kita. Bilamana IA telah memberikan kepada ku ruang dan peluang untuk menjejakkan kaki ke Baitullah ini disaat aku tiada pekerjaan tetap. Itulah suratannya. Bilamana juga telah DIA aturkan jodoh buat ku. Berdoalah aku memohonnya, kalau itu bukan jodoh buat ku…itulah realitinya. Aku terima seadanya. Telah DIA tetapkan jodoh yang terbaik buat aku. Selepas hampir empat tahun berlalu…aku terima kehadiran jodoh itu dengan redha dan penuh nikmat kesyukuran. Inilah suratan kehidupan. Setiap yang terjadi pasti akan terjadi. Hadapinya dengan senyuman.

Antara lainnya apa yang ingin aku titipkan disini ialah berkenaan daya tenaga atau kederat. Pengamatan aku adalah lebih baik mengejarkan ibadah haji ketika usia muda atau ketika kederat masih kuat. Ini kerana, ketika musim umrah biasa, tetamu ALLAH disana sekitar puluhan ribu sahaja atau mungkin mencecah sekitar ratusan ribu umat. Namun ketika musim haji, jemaah tetamu ALLAH pasti akan mencecah jutaan umat. Hari ini mengikut rekod kerajaan Arab Saudi jemaah haji yang berdaftar ialah seramai 3 – 4juta umat tidak termasuk jemaah yang hadir yang tidak dapat direkodkan. Lazimnya jemaah ini dari rakyatnya sendiri atau mungkin negara kejiranan yang hampir dengannya. Angka ini dianggarkan sekali ganda. Bermakna sekitar 6 – 8juta jemaah tetamu ALLAH yang mengerjakan ibadah haji ketika musimnya sekarang.

Atas sebab inilah aku berdoa di hadapan Kaabah agar aku diberi ruang dan peluang untuk menunaikan fardhu haji yakni Rukun Islam yang ke 5 ini dalam usia ku sekitar awal 40an. Kerana insyaallah ketika usia ini kederat aku masih kuat. Dengan kederat yang ada diadunkan dengan sabar dan redha insyaallah ibadah kita akan mudah selesa dan teratur. Aku berdoa agar aku diberi kesempatan menunaikan ibadah haji ini bersama isteri ku yang tercinta serta bonda ku yang teramat aku cintai. Insyaallah mudah mudahan ALLAH memudahkan urusan ku ini.

Sepanjang aku berada di bumi Mekah dan Madinah ini hati begitu syahdu dan permai sekali. Syukur Alhamdulillah kerana ALLAH memberi aku ruang seluasnya untuk beribadat disana. Hati dan akal aku tidak dialpakan dengan sekadar ingin melihat tempat orang sahaja. Setiap kali solat fardhu ku berjemaah di masjid. Setiap hari aku dapat melakukan dua kali tawaf sunat. Setiap kali selepas selesai solat fardhu maghrib berjemaah sementara menanti masuknya waktu solat fardhu isyak akan aku lakukan tawaf sunat. Aku amat mensyukurinya.

Berada diatas puncak Bukit Rahmah memberikan aku suatu semangat dalam mencari pasangan hidup. Bagaimana kisahnya pertemuan semula Nabi Adam AS dengan Siti Hawa AS dimuka bumi ini. Itulah ketentuan NYA. Hari ini, tatkala aku menyiapkan episod terakhir ini, aku sudah bertatus tunangan kepada Fahimah Binti Ab. Hadi. Insyaallah kami akan diijab kabulkan pada 17 Disember 2011 ini. Semoga ALLAH memudahkan urusan ku, serta memberikan kami berdua kasih sayang, jodoh dan kebahagian sehingga keakhir hayat kami berdua hendaknya…amin. Insyaallah.

Juga ketika berada di persekitaran Bukit Uhud tempat berlakunya peperangan uhud, terkorbannya syahid Saidina Hamzah serta sahabat lain Baginda SAW banyak member aku inspirasi perjuangan dalam kehidupan ini. Apatah lagi ketika berada di kawasan Raudah, berada berhampiran kawasan makam Baginda SAW melinangkan air mata aku. Terasa sayu dihati, insan agung ini yang mengutamakan umatnya sehingga ke akhir hayat nya.

Terlalu banyak untuk aku tintakan kisah suka dan pengalaman ku ketika berada di bumi suci ini. Rasa rindu dihati ini untuk melihat Baitullah MU lagi Ya ALLAH. Terasa ingin menziarahi makam kekasih MU, insan agung pemilik sebenar nama ku ini. Terima kasih Ya ALLAH kerana memberi aku kesempatan ini.

Wahai tuhan ku ALLAH, janganlah ENGKAU palingkan hati ku ini daripada MU biarpun sesaat, janganlah ENGKAU serahkan segala urusan ku kepada ku, atau kepada insan lain. Aku takut Ya ALLAH, kerana sebagai insan, kami tidak mampu untuk mengurusnya. Cukuplah bagi ku dengan adanya MU dan ku serahkan segala urusan ku kepada Mu Ya ALLAH….

Pengakhiran entry aku kali ini, sekadar aku ingin notakan sahaja dua pengalaman yang aku lihat sendiri dengan mata aku dan aku sedar dengan yakin apa yang ku lihat ini. Tetapi aku berat hati untuk mencoretkan kisah ini,  kerana dikhuatiri akan disalahtafsirkan oleh segelintir pembaca kelak. namun kedua kisah ini ada ikhtibarnya bagi aku. Kedua duanya baik belaka dan ada hubungkaitnya.

Aku bersyukur dan aku redha apa jua ketentuan NYA buat aku dalam kehidupan ini. Menutup bicara ku pada episod kali ini aku nyatakan disini rasa bersalah juga jauh disudut hati kerana tidak membawa ibu yang teramat aku kasihi, untuk bersama sama menunaikan ibadah umrah ketika itu. Insyaallah ada rezeki dan usia diizinkan oleh NYA akau akan kesana menunaikan haji bersamanya dan isteri ku insyaallah.

Sekali lagi aku rakamkan terima kasih buat sahabat ku Mohd. Imran Bin Mohd. Razali kerana berkongsi rezeki kurniaan NYA bersama aku. Ini semua suratan takdir. Hidup ibarat roda yang berputar, adakalanya kita diatas dan ada ketikanya kita dibawah. Hidup satu perjuangan, perjuangan memerlukan kesabaran dan pengorbanan. Redhalah dengan apa yang akan dikorbankan itu. Sesungguhnya ALLAH bersama orang orang yang bersabar.

Akhir sekali aku ingin memohon maaf kepada sesiapa juga yang membaca atau mengikuti keempat empat episod kisah BINGKISAN CATITAN SEBUAH PERJALANAN ~ UMRAH KU ini sekiranya terdapat tersalah tafsiran atau menyingung sesiapa juga yang dikenali. Telah aku nyatakan pada awalan episod pertama ini bahawa bukan niat aku ingin mengungkit atau menyakiti sesiapa dan jauh sekali untuk menunjuk atau riak, maaf yang teramat dari aku sebagai insan yang lemah dan hina disisi NYA. Serta terima kasih kepada sesiapa juga yang sudi membaca dan mengikuti kesemua episod tajuk aku kali ini. Ianya tak lain dan tak bukan, hanya sekadar catitan kehidupan untuk tatapan aku di hari tuan kelak.

Aku mohon sebarang komen atau teguran untuk penambahbaikan blog peribadi aku ini. Syukran jazilan. Terima kasih semua…dan aku dedikasikan lagu ini untuk semua, hayati bait lirik lagunya. TERIMA KASIH & SALAM HORMAT......mamat's