Selasa, 18 Disember 2012

SETAHUN BERGELAR SUAMI...menuju Keluarga Sakinah - Khas Buat Isteri Ku

umi , umairah & baba
ASSALAMMUALAIKUM....hari ini 18/12/2012. semalam genaplah usia perkahwinan ku setahun. setahun sudah berlalu. dalam setahun ini berbagai liku perjalanan kehidupan aku tempuhi bersama isteri tercinta. atas faktor kesihatan aku tidak dapat aktif untuk blog Merak Kayangan.

dalam tempoh setahun tersebut...kami telah berbulan madu ke Bandung Indonesia pada Januari 2012. isteriku disahkan mengandung penghujung Februari 2012...berita yang amat gembira dalam hidup aku, syukur ku ke hadrat NYA. namun dalam perjalanan kehidupan ini langit tidak selalu cerah pertengahan Mac 2012 aku telah disahkan menghidap Kanser Asofagus, berita yang amat mengganggu ku ketika itu......runsing dan kelam

....April 2012 barulah diberi kekuatan oleh ALLAH SWT untuk memberitahu kepada seluruh keluarga dan keluarga mertua ku serta isteri. ujian kehidupan ini perlu ku tempuhi. aku terus menjalani rawatan sehingga hai ini dengan perubahan fizikal yang teramat ketara pada diri ku. 

namun dalam ujian ini, aku amat mensyukuri ke hadrat NYA kerana seluruh kaum keluarga dan keluarga mertua ku banyak membantu. serta isteri tercinta tabah dalam mengurus aku tatkalanya dalam mengandung mahupun dalam tempoh pantang. itu lah yang paling berharga dalam hidup ku kini...memiliki seorang isteri yang bernama Fahimah. bertuahnya diri ini kerana berjaya memiliki cintanya di dunia ini...semoga kasih sayang kita kekal buat selamanya.

dalam keadaan ku kini yang masih sakit beliau masih berada disisi biar sepenat mana dirinya untuk membantu ku ketika perlu. terima kasih yang tiada terhingga buat sayang ku, terus tabah bersama menghadapi ujian ini. semoga ALLAH SWT memberi kita kekuatan dalam menempuhi perjalanan kehidupan ini. dalam tempoh usia yang terlalu muda perkahwinan kita ujian datang tanpa diduga. itulah takdir dari NYA. kita hanya mampu merancang dan berusaha ke arah apa yang dirangcang itu...namun pengakhirannya adalah dibawah ketentuan dari NYA.

apa pun yang terjadi kan tetap tertadi. tiada tangan atau kuasa yang boleh mengubah atau menghalangnya. semoga urusan kita dihari mendatang dipermudahkan dan aku kembali sihat.

entri kali ini ku nukilkan khas buat isteri ku tersayang. pengorbanan dan jasanya pada ku teramat aku hargai. kini dalam kehadiran cahaya mata pertama kami yang telah berusia lebih sebulan ianya memberikan aku kekuatan untuk menempuhi perjuangan ini. Auni Umairah itulah namanya anak kami, seorang puteri. dilahirkan pada 03/11/2012..dan aku amat bersyukur kerana diberi kekuatan oleh NYA untuk menemani isteri ku ketika bersalin. sayu hati ini melihat betapa sakitnya saat bersalin itu. semoga kehadiran anak ku memberikan limpahan rezeki serta rahmat dan berkat buat kami sekeluarga dari ALLAH SWT. buat isteriku terima kasih banyak banyak kerana bersama abang.

Auni Umairah..sejurus selepas kelahiran
buat pembaca lain terima kasih kerana sudi membaca blog peribadi ku ini. aku tidak menyekat kepada sesiapa jua untuk membaca atau melihat blog ku ini. ianya hanya sekadar sebuah memori untuk hari depan buat bacaan anak ku...terima kasih - WASSALAM

aku dan puteriku

Muhammad B Musa
18/12/2012
Kg. Pajak Song

Ahad, 22 Julai 2012

.: Marhaban Ya Ramadhan 1433H :.


ASSALAMMUALAIKUM…hari ini 22 Julai 2012 bersamaan 02 Ramadhan 1433H. Ramadhan kembali lagi. Bulan yang penuh rahmat dan berkat anugerah ALLAH SWT untuk kita umat Muhammad SAW. Syukur ku panjatkan ke hadratnya kerana memberi ruang dan peluang buat aku untuk menikmati Ramadhan tahun ini.

Sedari atau tidak…bermakna telah 7 bulan usia gerbang perkahwinan aku. Alhamdulillah isteri tercinta telah sarat mengandung tatkala ini berusia 5 bulan anak sulung kami. Hati teramat riang bakal bergelar bapa.

Agak lama aku tidak mencoretkan sesuatu di blog ini. Macam macam telah berlaku sepanjang tempoh 7 bulan ini. Aku nukilkan seringkas mungkin segala kenangan peristiwa yang telah berlaku sepanjang tempoh 7 bulan ini. Insyaallah sekiranya berkesempatan akan aku sub tajukkan peristiwa kenangan itu dalam entri entri mendatang.

Tatkala ini aku dalam proses rawatan kimoterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Aku telah disahkan oleh doktor pakar menghidap kanser asofagus tahap 3 pada bulan Mac 2012 yang lalu. Aku dimasukkan ke wad Hospital Pakar Tawakal Kuala Lumpur pada Mac yang lepas dan doktor mengesahkan ada ketumbuhan di saluran makan ku dan ia diklasifikasikan sebagai Kanser Asofagus.

Hampir 3 bulan aku tidak boleh makan dan muntah muntah dan terlantar di rumah. Diet aku sekadar susu bernutrisi tinggi yang disyorkan oleh pihak PPUM. Itulah ujian dari NYA. Syukur kerana isteri tercinta berada disisi. Dalam usia seawal 3 bulan perkahwinan isteri ku tidak kekok serta tabah dan sabar melayan aku “ sang pesakit ”. Jauh disudut hati ini aku diulit seribu keresahan…apakah kesudahannya. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahuinya.

Hari ini selepas kitaran ke 3 menjalani rawatan kimoterapi, kesihatan aku telah kembali stabil. Alhamdulillah aku boleh menikmati rezeki kurniaan NYA kembali, muntah muntah telah tiada malahan aku diberikan kesempatan oleh NYA untuk menunaikan ibadah puasa.

Namun dari sudut fizikalnya, aku mengalami kesusutan yang amat ketara. Berat badan ku kini sekitar 70kg sahaja berbanding dahulu sekitar 95kg. Manakala saiz pinggang seluar ku kini ialah 36inci berbanding dahulu 40inci. Itulah yang telah terjadi selepas hampir 3 bulan terlantar sakit.

aku
Apa pun aku amat bersyukur ke hadrat NYA dan redha akan ujian ini. Segala berlaku atas keizinan dan kehendak NYA. Terima kasih yang teramat ingin aku kalungkan buat semua sahabat handai yang datang menziarahi, adik beradik ku, ipar duai ku, anak anak buah ku dan khasnya ibu tercinta serta kedua ibu mertua ku yang senantiasa memberikan semangat buat aku sepanjang tempoh berkenaan.

Itulah yang telah terjadi dalam liku hidup ku sekitar Mac 2012 sehingga ke hari ini….mengimbau sekitar bulan Januari dan Februari 2012 pula aku ingin simpulkan kisah manis berbulan madu kami.

Majlis kenduri kahwin di pihak aku telah berlangsung pada 25 Disember 2011. Isteri ku kini tidak lagi berkerja. Kerana faktor jarak lokasi adalah tidak berbaloi beliau bekerja di tempat lamanya. Maka kami mengambil keputusan agar beliau berhenti kerja sementara mencari peluang lain di sekitar Kuala Lumpur.

Kami berbulan madu ke Bandung & Jogjakarta Indonesia selama 6 hari 5 malam di sana. Alhamdulillah rezeki kurniaan NYA aku membawa isteri tercinta untuk berbulan madu ke sana. Kami berangkat pada 12 Januari 2012 selama 3 malam di Bandung kemudian menaiki keretapi membelah tanah jawa kami ke Jogjakarta untuk 2 malam di sana pula. Kami berangkat pulang ke tanahair pada 17 Januari 2012.

Sepanjang bulan madu disana ianya amat indah sekali. Keindahan alam ciptaan ALLAH SWT di tanah jawa sukar untuk dilupai. Asap tebal dari gunung berapi dari perut bumi namun kesejukan dingin tetap dirasai sepanjang kami berada di Tangkuban Perahu. Menikmati sajian jawa asli di Kampung Daun pasti akan mengamit untuk kesana lagi.

Hari ini selepas hampir 7 bulan berlalu….segalanya hanya tinggal kenangan. Menjadi epik untuk dititipkan sebagai sebuah memori untuk hari mendatang. Hari ini aku menyambut Ramadhan bermacam kelaianan. Tidak lagi bujang itu yang paling lain. Kali ini segalanya berkongsi. Berkongsi dengan si isteri tercinta. Bersahur dan berbuka bersama serta ditemani ibu ku.

Syukur ku hadrat NYA atas kurniaannya ini. Pengalaman sepanjang tempoh sakit yang lalu banyak mengajar aku erti sebuah ketabahan dan kesabaran. Betapa mensyukuri nikmat NYA, setiap apa yang diaturkan dan diberikan kepada kita itu ada sebab musababnya. Usahlah mengeluh. Nikmatnya makan, nikmatnya muntah, nikmatnya proses pencernaan (buang air besar)….segala galanya ada nikmatnya tersendiri.

Insyaallah kita bertemu dilain entri di blog aku ini. Ianya sebagai satu singkapan untuk hari tua mengimbau sebuah memori silam. Perjalanan aku meniti kehidupan ini, berliku dan kelam hanya DIA sahaja Yang Mengetahuinya. SALAM RAMADHAN 1433H dan selamat menunaikan ibadah puasa buat semua muslimin yang membacanya. Wassalam

Merak Kayangan
F-05-11 PPR Batu Muda