Jumaat, 30 September 2011

.: BINGKISAN CATITAN SEBUAH PERJALANAN ~ UMRAH KU :.

.: BINGKISAN CATITAN SEBUAH PERJALANAN ~ UMRAH KU :.
Episod 3 : Perjalanan Ibadah & Menjejaki Peningalan Baginda SAW
  
Catitan ke 3 ini agak lama aku mengambil masa untuk menyiapkannya. Bukan kerana tiada ilham, akan tetapi kerana kesibukan tugas seharian dengan kerja dan beberapa urusan. Tatkala ini hati aku riang gembira sekali, kerana setelah sekian lamanya hati aku telah dimiliki seseorang. Kami menanti hari pertunangan yang telah ditetapkan tarikhnya tidak lama lagi iaitu awal bulan Oktober 2011. Syukur Alhamdulillah. Coretan ke 3 ini khas aku dedikasikan untuk nya….

Perjalanan Umrah Ku :

11Jun2007 (Isnin) – hari pertama - 10.50pg. – dari rumah terus ke KLIA ; 12.05t/hr – tiba di KLIA terus chek in bagasi ; 01.30ptg – memasuki balai berlepas antarabangsa, solat zohor jamak bersama asar ; 02.30ptg – memasuki ruangan balai berlepas ; 03.30ptg – berlepas ke Arab Saudi melalui penerbangan MAS MH 150. Penerbangan hampir memakan masa selama 8 jam KL ke Jeddah…..tiada apa yang dapat aku lakukan dalam penerbangan, sepanjang perjalanan aku tak dapat melelapkan mata..entah kenapa, mungkin teringatkan seseorang ketika itu.

06.50ptg. waktu Arab Saudi (sekitar jam 11.50 mlm. waktu Malaysia) kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah. Selesai urusan pemeriksaan sekitar 2 jam kemudiannya dan kami disambut oleh petugas LUTH disana dan menaiki kenderaan menuju ke Kota Madinah Al Munawwarah. Perbezaan waktu antara Malaysia dan Arab Saudi ialah Malaysia awal 5 jam dari Arab Saudi, bermakna sekiranya di Malaysia jam 10.00mlm. di Arab Saudi jam 05.00ptg.

Jarak perjalanan Jeddah ke Kota Madinah mengambil masa sekitar 4 ke 5 jam. Dalam perjalanan, kami berhenti seketika untuk bersolat disebuah masjid yang aku sendiri tidak ingat akan masjid berkenaan. Kami menunaikan jamak isyak dan maghrib. Perjalanan bersambung kembali…..

Tiada apa yang dapat hendak ku coretkan sepanjang perjalanan berkenaan. Lebuhraya mereka tidaklah bertar, sekeliling kami hanya kelihatan padang pasir dan bukit bukau, tiada lampu jalan. Perjalanan ini agak laju dan keadaan jalan yang tidak rata menyebabkan kami tidak dapat tidur dengan nyenyak.

Sesekali aku terjaga dan kelihatan sekeliling amat gelap, Cuma cahaya samar samar sahaja dari kenderaan dihadapan atau dibelakang. Selepas lebih kurang 5 jam perjalanan kami memasuki sempadan Kota Madinah Al Munawwarah, ini berdasarkan pada pintu masuknya dikawal ketat dan kelihatan papan tanda yang melarang orang bukan Islam memasukinya.

Dari jauh aku kelihatan menara Masjid Nabawi. Hati begitu teruja dan terharu sekali. Melihat tanah tempat berkembangnya syiar islam dan tersimpannya ranjau berliku sirah perjuangan Baginda Rasullullah SAW bersama sahabat sahabatnya.

Lebih kurang jam hampir 01.00pg. kami tiba di Hotel Anwar Madinah. Kedudukan hotel ini agak berhampiran dengan kawasan Masjid Nabawi. Suhu di Madinah pagi itu panas / bahang namun angin bertiup agak kuat. Aku dan sahabat menginap di bilik bernombor 6022….keletihan seharian perjalanan, selesai mandi aku terlena sekitar jam 02.00pg.

12Jun2007 (Selasa) – hari kedua…lebih kurang jam 03.00pg. aku terjaga, mungkin kerana teruja untuk menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi, bangun dan terus mandi….semasa sedang kami bersiap terdengar laungan azan, pada ingatan kami ianya azan subuh. Lantas kami bergegas berlari menuju ke masjid untuk berjemaah. Setibanya di masjid kami lihat orang telah selesai berjemaah. Lantas kami berjemaah solat subuh berdua. Aku menjadi imam dan sahabat aku menjadi makmum. Kami memasuki ruang masjid melalui pintu bernama “ Babus Salam ”. Mengikut sirah, pintu ini adalah kelaziman Baginda SAW melaluinya setiap kali masuk ke masjid.

Semasa bersolat subuh, seorang pak arab marah dengan kami kerana bersolat berhampiran dengan tong air untuk diminum. Secara jujurnya aku sendiri tidak tahu akan fungsi tong itu, pertama kali ke sini. Selesai solat aku baca pada tong itu tertera air zam zam untuk diminum. Rupanya disekitar dalam dan luar masjid banyak terdapat tong air zam zam untuk diminum disediakan oleh pemerintah siap dengan gelasnya sekali.

Aku menghambil kesempatan untuk minum air zam zam sepuasnya. Selesai minum aku melakukan beberapa solat sunat di Masjid Nabawi, masjid yang kedua besarnya berkat bersolat disitu. Seketika kemudian sekitar jam 04.00pg lebih….laungan azan dilaungkan sekali lagi..aku terpinga. Namun keasyikan laungan azan ini amat indah sekali untuk didengari. Rupanya barulah masuknya waktu solat subuh bagi kawasan Madinah Al Munawarrah, azan yang pertama ku dengari semasa dibilik hotel sebentar tadi sebagai isyarat awal Masjid Nabawi telah dibuka kepada jemaah. Untuk makluman pembaca, kawasan dalaman Masjid Nabawi akan ditutup setiap malam mulai jam 12.00 t/mlm. hingga jam 03.00pg. azan itu menandakan masjid telah dibuka kembali.  

Solat jemaah ku yang pertama di bumi haram. Bacaan imamnya cukup indah sekali. Selesai solat subuh, ada solat jenazah dilakukan. Selesai solat jenazah, kami berasak menuju ke satu ruangan yang dinamakan Raudah, cukup indah sekali di raudah ini. Binaannya amat bermutu dan kemas. Kami menelusuri laluan untuk menuju ke hadapan kawasan makam Baginda SAW, disitu juga disemadikan bersama dua sahabat Baginda SAW iaitu Saidina Abu Bakar As Sidiq dan Saidina Umar Al Khattab. Kami berdoa dihadapan kawasan berkenaan, hati begitu sayu, dalam ketika itu air mata aku menitis membasahi pipi ku…seketika kemudian pihak berkuasa masjid yang bertugas menegur kami kerana terlalu lama disitu. Lantas kami beredar keluar masjid. Terus naik kehotel menikmati sarapan pagi yang disediakan.

Mengikut jadual hari ini kami akan dibawa melawat disekitar kawasan masjid sahaja. Kami dibawa melawat ke kawasan Perkuburan Baqi’. Disini banyak disemadikan jenazah sahabat sahabat Baginda SAW, kaum keluarganya, serta Fatimah AS, anakanda kesayangan Baginda SAW.

Kemudian kami dibawa melawati kawasan sekitar masjid seperti Raudah dan kawasan Makan Baginda SAW. Petugas itu memaklumkan bahawa didalam Masjid Nabawi ini pemerintah akan menutup pada setiap malam dan kawalan keselamatan yang dikenakan agak ketat.

Sebelah petangnya acara bebas, aku dan sahabat ku bersiar disekitar masjid, kami melihat bazaar yang ada disitu. Aku membeli jubah dan serban. Setiap waktu kami solat berjemaah. Selesai solat isyak, kami makan malam…keadaan aku agak keletihan dan kepala terasa pening, mungkin kerana tidur yang tidak mencukupi…aku terlena awal pada malam itu.

Hari ke 3 13/06/2007 (Rabu) – hari ini ada lawatan ke Masjid Quba, Masjid Qiblatien, Jabal Uhud, Perkuburan Syuhadah Uhud dan kawasan ladang buah kurma.

Selesai solat subuh, terus sarapan..kami dijadualkan berkumpul jam 08.00pg. namun kami kelewatan dan bas telah bergerak. Kami mengambil teksi menuju ke Masjid Quba. Destinasi pertama dan bertemu semula kumpulan asal kami.

Masjid ini adalah masjid pertama yang dibina dalam sejarah setelah baginda diangkat menjadi Rasulullah, ianya dibina berasaskan taqwa dan iman. Allah SWT telah mengakuinya sebagaimana firman NYA : “…sesungguhnya Masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)”. (at-Taubah : 108)

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW selalu datang ke Masjid Quba’ ini pada setiap hari Sabtu sama ada menaiki unta atau berjalan kaki. Kadang-kadang Rasulullah SAW datang pada hari Isnin dan Khamis. Tentang masjid ini, Rasulullah SAW ada bersabda : “ Sesiapa yang berwudhu’ di rumahnya kemudian pergi ke Masjid Quba’ untuk solat, akan diberi ganjaran pahala seperti pahla menunaikan umrah ” (hadis diriwayarkan Ibnu Majah).

Selesai lawatan di masjid ini kami terus menuju ke Masjid Qiblatien. Dimasjid inilah Rasullullah SAW mendapat wahyu dari ALLAH SWT untuk mengalihkan qiblat dari Al Aqsa Baitulmuqadis ke Baitullah Mekah, …." Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi al Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui bahwa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Allahnya dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan " Surah Al Baqarah : ayat 144.

Peristiwa ini berlaku ketika Baginda SAW sedang mengimamkan solat fardhu Zuhur tahun ke 2 Hijriyah hari Isnin bulan Rajab. Dalam solat tersebut mula mula Rasulullah SAW menghadap ke arah Masjidil Aqsa tetapi setelah turun ayat tersebut di atas, beliau menghentikan sementara, kemudian meneruskan solat dengan memindahkan arah kiblat menghadap ke Masjidil Haram.

Masjid Qiblatain mula-mula dikenal dengan nama masjid Bani Salamah, kerana masjid ini di bangunkan di atas bekas rumah Bani Salamah.

Merujuk dengan peristiwa tersebut, lalu masjid ini dinamakan Masjid Qiblatain, yang ertinya masjid berkiblat dua. Menurut sejarah, Masjid Qiblatain ini adalah masjid pertama yang didirikan oleh Rasullulah sewaktu menghampiri di Quba dalam perjalanan (hijrah) beliau ke Madinah. Hari ini Masjid Qiblatain merupakan salah satu tempat ziarah di Madinah bagi jamaah haji mahupun umrah dari seluruh dunia.

Selesai menziarahi masjid ini perjalanan diteruskan ke kawasan Jabal Uhud. Disinilah berlaku peperangan pertama Baginda SAW dengan para sahabat. Disinilah gugurnya shahid Saidina Hamzah, yang juga merupakan ayahanda saudara Nabi.

Mengikut catitan sejarah, selepas dibunuh, mayat Saidina Hamzah telah di belah dadanya dan diambil hatinya lalu dimakan oleh sipembunuh tersebut, ini kerana beliau terlalu marah kepada Saidina Hamzah, dan mengikut catitan sejarah masyarakat setempat juga, selepas lebih kurang 39 tahun perang uhud, berlaku banjir besar dikawasan perkuburan shuhadah ini. Maka terbongkarlah jasad jasad didalamnya, dan kelihatan jasad Saidina  Hamzah  masih dalam keadaan baik dan berdarah lagi. Sesungguhnya ALLAH itu Maha Kuasa. Perjuangan dan shahid Saidina Hamzah ini boleh kita sama sama ambil iktibar dan semangat perjuangannya.

Dikawasan jabal uhud ini aku memanjat sebuah bukit kecil disini dan merakamkan keadaan sekeliling disini. Berlakunya peperangan pertama Baginda SAW disini……hati terasa hiba dan sayu. Mengikut hadis Baginda SAW, bukit uhud ini akan berada didalam syurga kelak nanti.

Selesai di kawasan uhud ini kami bergerak menuju ke ladang buah kurma, tiada apa yang hendak dirakamkan disini. Keadaannya lebih kurang seperti ladang kelapa sawit di Malaysia. Cuma cuacanya agak panas, mencecah 45c…musim buah kurma masak.

Selesai semua lawatan kami dibawa membeli belah disekitar kawasan Masjid Nabawi, esok kami akan bertolak ke kota suci Mekah Al Mukarramah.

Selesai solat isyak dan makan malam, aku berkemas dan menyiapkan pakaian ihram aku. Kerana esok kami akan berada dalam keadaan ihram.

Hari ke 4 – 14/06/2007 Khamis..aku berpuasa sunat hari ini. Bersahurkan hanya kurma dan kacang serta air zam zam dan susu…aku solat subuh diluar masjid, kerana berulang ke tandas…selesai solat subuh berjemaah, aku memasuki ruangan dalam masjid dan melakukan beberapa solat sunat dan membuat ziarah selamat tinggal. Melusuri ruangan Raudah dan kawasan Makam Baginda SAW, hati begitu berat dan hiba sekali, apakah mungkin diberi kesempatan lagi oleh NYA untuk aku menjejaki kaki menziarahi makam insan agung dan pemilik sebenar nama yang aku gunakan ini…

Lebih kurang jam 09.00pg. kami mula berkumpul di lobi hotel siap dengan berpakaian ihram. Kami bertolak menuju ke Mekah Al Mukarramah. Perjalanan dijangka mengambil masa lebih kurang 5 jam. Selang 15 minit kemudian kami tiba di Masjid Bir Ali. Disini antara lokasi yang merupakan sempadan tanah haram dan perlu miqat / niat umrah disini. Selesai melakukan solat sunat kami menaiki bas kembali dan berniat, dalam perjalanan kami bertalbiyah Labaik Allahumma Labaaik, labaaik Laa Syarika Laka Labaaik Inal Hamda Wan Ni’mata Laka Wal Mulka La Syarikalah…. ”

Dalam perjalanan aku agak keletihan dan tertidur. Mungkin kerana faktor puasa sunat. Sepanjang perjalanan tiada apa yang dapat dirakamkan. Sekeliling lebuhraya ini hanya bukit bukau sesekali kelihatan ladang unta dan kedai makan ditepi jalan.

Lebih kurang jam 03.00ptg. kami tiba di Kota Suci Mekah Al Mukarammah. Hati amat teruja melihat binaan Masjidil Haram, hebat dan indah. Kami check in di Hotel Firdhaus Mekah, jaraknya lebih kurang 30m ke pintu masjid. Kami menginap di bilik 606.

Kami diberi masa untuk berehat seketika. Aku bersolat zohor didalam bilik sahaja. Masuk waktu solat Asar kami berkumpul di lobi hotel dan menuju ke Masjidil Haram. Hati begitu resah dan teruja…kelihatan binaan “ KAABAH ” yang begitu mempersonakan, aku amat mensyukurinya. Peluang dan ruang yang dianugerahi NYA buat aku menatapi Baitullah NYA. Solat berjemaah pertama ku di masjid teragung buat kita umat Islam. Selesai solat asar berjemaah kami melakukan tawaf selamat datang. Ini sebagai penghormatan kepada Kaabah, selesai tawaf ini kami terus melakukan aturan umrah seterusnya iaitu tawaf, saie dan bertahalul. Setiap kali selesai tawaf aku melakukan solat sunat tawaf.

Ketika saie aku terasa amat letih sekali. Inilah tujuan sebenar mengapa aku berpuasa, untuk merasai betapa kepayahannya Siti Hajar berlari lari anak ketika mencari air untuk anaknya Nabi Ismail AS, dan bagaimana sukarnya jemaah umrah / haji dahulu kala melakukan ibadah ini. Hari ini kawasan saie telah menjadi sebahagian kawasan dalaman masjid, lantainya sudah di morzedkan, berbumbung dan berkipas. Ini semua dilakukan untuk keselesaan semua jemaah oleh pemerintah. Namun bagaimanakah keadaannya ketika 100 tahun dahulu???

Selesai saie aku terus bertahalul iaitu bercukur sebagai satu simbolik selesainya ibadah umrah. Maka selesai sudah pertama ku. Aku terus kehadapan kaabah melakukan solat sunat. Hati begitu sayu, girang dan sedih….semoga ALLAH menerima ibadah hambanya yang hina ini.

Naik ke bilik hotel berehat dan menyalin pakaian. Masuk waktu maghrib, buka puasa didalam bilik menjamah nasi bekalan siang tadi. Solat maghrib dan isyak di masjid. Aku berdoa dihadapan kaabah MU Ya ALLAH….selesai semua aku terlena awal pada malam itu.

Hari ke 5 Jumaat 15.06.2007 …aku terjaga awal. Memang aku berniat untuk bangun awal dan ingin melakukan ibadah sunat di hadapan Kaabah. Tawaf hajat (sunat) dan solat sunat hajat, aku bermohon dari MU hajat harapan yang mengunung tinggi dikala itu….

Selesai solat subuh berjemaah aku balik ke hotel sarapan bersama imran sahabat ku dan kembali ke bilik dan tidur. Sekitar jam 11.00pg aku bersiap untuk ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Aku mengambil tempat di sebelah kawasan “ Multazam ”. Aku dapat melihat mimbar dan jelas kelihatan khatib membaca khutbah. Walaupun dalam bahasa arab, namun ianya adalah wajib untuk didengari.

Walaupun cuaca agak panas ketika itu, namun kawasan didalam masjid sejuk tenang dan berangin. Seketika aku mendongak kelangit, tepat di atas Kaabah, kelihatan beberapa ekor burung helang terbang mengelilingi Kaabah, seakan akan seperti bertawaf juga. Wallahualam, sesungguhnya setiap makhluk itu ciptaan NYA.

Selesai solat Jumaat aku balik ke hotel makan tengahari, hari ini aturcaranya bebas, kami bersiar siar disekitar masjid. Melihat lorong lorong bazaar. Kami bersolat asar berjemaah di ruangan yang berhampiran dengan istana raja. Iaitu dibelakang kawasan saie. Mengikut rekod berhampiran kawasan istana inilah terletaknya rumah asal kelahiran Baginda SAW. Kawasannya kini ada sebuah binaan bangunan kecil dan dijaga rapi oleh pemerintah bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

Selesai solat maghrib berjemaah, aku berjalan di ruangan tingkat 1 Masjidil Haram. Hanya tingkat 1 sahaja yang dibuka, tingkat 2 dan bumbung ditutup. Apa yang kami difahamkan ianya akan dibuka hanya ketika bulan Ramadhan, Syawal dan musim haji sahaja.

Hari ke 6 – 16/06/2007 (Sabtu) – hari ini kami dibawa melawati kawasan bukit Gua Hira’, Bukit Thur dan Bukit Rahmah. Gua Hira’ adalah lokasi dimana Baginda SAW menerima wahyu pertama dan diangkat oleh ALLAH SWT menjadi Rasul. Bukitnya agak tinggi. Terdetik dihati ku dan sahabat ku, bagaimana Saidatina Siti Khadijah memanjat setiap hari bukit ini menghantar bekalan makanan buat suaminya. Ketaatan seorang isteri, biarpun berstatus hartawan namun kesetiaanya pada si suami yang jauh lebih muda dari nya tidak berbelah bagi. Cinta Saidatina Siti Khadijah buat suaminya Muhammad Bin Abdullah.

Bukit Thur (Jabal Thur) adalah kawasan Baginda SAW dan Saidina Abu Bakar As Sidiq bersembunyi ketika peristiwa Hijrah. Bukitnya agak tinggi. Mungkin mengambil masa sekitar sejam untuk memanjatnya.

Seterusnya kami ke Bukit Rahmah (Jabal Rahmah). Tempat pertemuan kembali Nabi Adam AS dan Siti Hawa AS selepas beberapa tahun mereka terpisah kerana tercampak ke dunia ini. Bukitnya agak rendah. Terletak dikawasan Padang Arafah. Arafah adalah lokasi wajib bagi ibadah haji. Disekitar kawasan ini jugalah berkumandangnya khutbah terakhir Baginda SAW, yang telah menitiskan air mata sahabat setianya iaitu Abu Bakar As Sidiq. Kerana Abu Bakar telah memahami akan maksud khutbah tersebut serta ayat terakhir yang diturunkan oleh ALLAH SWT kepada Baginda SAW iaitu ayat 3 Surah Al Maidah " Pada hari ini orang orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agama kalian. Oleh kerana itu, janganlah kalian takut kepada mereka, tetapi takutlah kalian kepada KU. Pada hari ini AKU telah menyempurnakan untuk kalian agama kalian, telah mencukupkan atas kalian  nikmat KU, dan telah meredhai Islam menjadi agama bagi kalian ". Peristiwa ini berlaku pada 9 Zulhijjah tahun ke 10 hijra, di Lembah Uranah Padang Arafah.

Aku lantas mendakinya Jabal Rahmah, berdoa diatasnya, memohon ke hadrat NYA akan suatu maksud hasrat ku ketika itu yang mengunung tinggi. Lebih kurang 15 minit diatas Jabal Rahmah, aku merakam pemandangan disekitar itu…sekitar bumi arafah yang tandus dan kering. Arafah nantikan ketibaan aku untuk ibadah haji ku suatu hari nanti. Insyaalah.

Perjalanan pulang kami melewati kawasan mudzalifah dan kawasan melontar jamrah. Antara lokasi wajib ibadah haji. Kami berhenti untuk bermiqat / niat umrah kedua. Kali ini kami bermiqat di Masjid Ja’Ranah. Perjalanan bersambung pulang ke kota mekah, aku meneruskan ibadah umrah ku. Selesai umrah dan selesai solat zohor aku berehat dan makan tengahari dihotel. Hari ini seorang kenalan aku mula daftar masuk dihotel yang sama dengan kami iaitu Bakti dan isterinya bersama kedua mertuanya.

Selepas solat asar aku dan imran bersiar siar disekitar kawasan luaran masjid. Tiada apa yang menarik untuk dirakamkan. Selesai solat maghrib aku melakukan tawaf sunat, dan mendaki kawasan bukit safar di kawasan saie. Merenung sirah Siti Hajar dan anakandanya Nabi Ismail AS. Hati seorang ibu yang gundah melihatnya anak kecil kesayangannya kehausan….selesai solat isyak, aku naik ke bilik berehat…

Hari ke 7 – Ahad 17/06/2007 – hari ini kami bermiqat di Masjid Hudaibiyah. Ianya tidak berapa jauh dari tanah haram. Selepas bermiqat kami di bawa melawati ladang perternakan unta. Kami diberi rasa minum susu unta. Aku meminumnya dan membelinya sebotol air mineral 500ml dengan kadar 5riyal. Selepas itu kami di bawa melawati Muzium Haramain. Disini dirakamkan sejarah pembangunan Masjidil Haram khasnya. Gambar lama tersimpan disini. Mengikut rekod kos pembinaan kain kiswah (kelambu kaabah) adalah bernilai 19juta riyal. Ianya dibuat dari sutera asli dan disulam dengan benang emas tulen. Saban tahun kain kiswah ini ditukar ganti, yang lama ini Kerajaan Arab Saudi akan memberikan hadiah kepada negara negara Islam.

aku dan sahabat aku ketika ihram, di ladang unta

aku di Muzium Haramain, bergambar di hadapan replika telaga zam zam konsep lama
Ketika di ladang unta, salah seorang wanita dalam kumpulan kami menegur aku, dan mengenalkan dirinya sebagai sepupu arwah ayah aku. Katanya beliau berselisih dengan salah seorang sepupu ku yang sedang mengerjakan umrah bersama agensi lain ketika di luar masjidil haram semalam. Kuasa NYA, beliau mengakui, telah lama tidak pernah berjumpa dengan arwah ayah aku, akhirnya bertemu dengan ku di Mekah ini.

Selesai lawatan ini, kami dibawa pulang ke Masjidil haram, lantas aku terus menyelesaikan ibadah umrah ku kali ini yang khusus aku niatkan untuk arwah ayahanda ku Musa Bin Arshad. Selesai saie dan bertahalul, aku kehadapan kaabah melakukan solat sunat dan berdoa disitu khusus untuk arwah ayah ku. Tanpa disedari air mata ku berlinang dan membasahi pipi ku. Aku terus berada di hadapan kaabah sehingga selesai solat zohor dan terus ke bilik berehat dan makan tengahari.

Alhamdulillah, sepanjang aku di Masjidil Haram ini aku telah dapat bersolat di kawasan Multazam, Makam Ibrahim dan Hijir Ismail. Aku juga cuba sedaya untuk mendapatkan 2 kali tawaf sunat setiap hari sepanjang di sini. Aku juga berjaya memegang jenang pintu kaabah. Ini semua perkara perkara sunnah yang dilakukan Baginda SAW. Esok kami akan berangkat ke Jeddah untuk pulang ke tanahair. Namun sehingga ke saat ini aku masih belum berjaya mengucupi batu Hajaratul Aswad. Aku berdoa agar aku diberi kesempatan kali ini.

Selesai solat maghrib dan isyak aku bersiar disekitar hotel membeli sedikit barangan untuk dibawa pulang. Selesai bersiar dan makan malam aku berkemas barangan. Esoknya kami akan pulang meninggalkan seribu kenangan di bumi suci ALLAH SWT ini. Mengutip pengalaman sirah perjuangan Baginda SAW dalam membawa risalah ALLAH SWT.

Hari ke 8 – Isnin 18/06/2007 – aku ke masjid agak awal hari ini. Aku lantas melakukan tawaf sunat dan solat sunat. Mudah mudahan hari ini aku berjaya mencium hajaratul aswad. Selesai solat subuh, kami naik untuk bersarapan kemudian kami bersiar di sekitar hotel. Di sekitar hotel aku ini pada sebelah paginya agak ramai peniaga jalanan menjual barangan seperti tudung, jubah lelaki, minyak attar, tabih dan sebagainya.

aku dihadapan hotel, selepas sarapan
Sekitar jam 08.00pg. kami naik ke bilik untuk berehat..aku tertidur. Sekitar jam 11.00pg aku terjaga, mandi dan terus bersiap untuk pulang. Aku ke masjid untuk kali terakhir pada sesi umrah ku kali ini….hati hiba dan sayu. Menyingkap sirah perjuangan Rasullullah SAW dan para para nabi sebelumnya di tanah suci ini.

Aku melakukan solat dan tawaf sunat. Alhamdulillah dengan izin NYA aku berjaya, hanya sekadar memegang Hajaratul Aswad. Namun aku tidak berjaya mengucupnya. Aku sekadar dapat menyapu tangan ku tepat ke batu tersebut. Keadaan waktu itu agak sesak dan berasak asak. Dengan tenaga muda yang aku ada aku cuba untuk bersaing dengan jemaah yang majoritinya bangsa Arab yang bersaiz badan mereka agak besar. Itulah sahaja yang aku perolehi pada kali ini dengan izin NYA. Bagi aku sudah memadai. Insyaallah mungkin dilain kali aku diberi peluang oleh NYA untuk mengucupi batu dari Syurga ini.

Selesai aku berjaya memegang Hajaratul Aswad aku ke kawasan saie untuk menyingkap kisah Siti Hajar dan anakandanya Nabi Allah Ismail AS. Aku meneguk air zam zam sejuk dan segar yang tersedia di satu ruangan di kawasan saie ini. Nikmatnya air ini dan begitu segarnya, aku berwudhu dengan air zam zam sejuk ini. Seketika kemudian masuknya solat waktu Zohor disini. Aku berjemaah buat kali terakhir pada ketika ini di hadapan Kaabah MU. Selesai berjemaah, aku menunaikan tawaf wajib iaitu tawaf wida’ selamat tinggal Baitullah. Semoga aku diberi kesempatan untuk menjejakan kaki ku lagi nanti di sini oleh ALLAH SWT.

Aku naik ke bilik dan bersiap sedia dengan semua barangan. Kami menanti di lobi hotel ketibaan bas untuk membawa kami keluar dari Kota Mekah Al Mukarramah untuk menuju ke bandar Jeddah. Lebih kurang jam 02.30ptg. kami pun berangkat keluar dari Kota Suci Mekah menuju Jeddah. Selamat tinggal bumi Mekah Al Mukarramah, selamat tinggal tanah haram, selamat tinggal Baitullah…semoga aku diberikan kesempatan oleh NYA lagi untuk ke mari, insyaallah.

Sekitar jam 4.00ptg kami memasuki Kota Jeddah. Sebuah Bandar pelabuhan di Arab Saudi. Mengikut catitan sejarah, Jeddah telah mula menjadi sebuah pelabuhan di era pemerintahan Khalifah Ar Rasyidin lagi iaitu semasa kepimpinan Saidina Uthman Affan. Kami bersolat asar disebuah masjid terapung di sini.

Sekitar jam 06.00ptg. kami mendaftar masuk ke lapangan terbang untuk berangkat pulang ke Malaysia. Kami bersolat jamak Maghrib dan Isyak disini. Sekitar jam 08.00mlm. kami memasuki ke balai perlepasan, selesai segala urusan migrasi, lebih kurang jam 10.30mlm kami berangkat meninggal bumi anbiya ini.

Sepanjang perjalanan, tiada apa yang hendak dirakamkan, sekitar pemandangan di udara ini amat gelap sekali. Akhirnya aku terlena….aku terjaga keadaan telah cerah kembali. Kami selamat tiba dan mendarat di KLIA sekitar jam 11.50pg 19Jun2007 (Selasa). Selesai segala urusan berkaitan aku terus pulang ke rumah untuk berjumpa dengan ibu ku khasnya. Aku dijemput oleh abang ngah ku. Terima kasih banyak banyak buat sahabat ku Mohd Imran Bin Mohd Razali atas trip umrah ini. Aku amat mensyukurinya Ya ALLAH. Syukran jazilan.

aku dan sahabat ku Mohd. Imran dihadapan hotel kami, sejurus sebelum berangkat pulang
Sekian untuk kali ini. Nantikan sambungannya dalam siri terakhir sedikit masa lagi....INSYAALLAH. Terima kasih dan bersyukur ku ke hadrat ALLAH SWT kerana memberi aku pena dan lidah serta hati untuk menukil sedikit catitan perjalanan hidup ku ini buat tatapan di masa akan datang.