Sabtu, 19 November 2011

~~ warkah buat tunang ku : meniti 27 hari bergelar SUAMI ~~

Assalammualaikum aku memulakan bicara kali ini. Hari ini 20 November 2011 hari Ahad. Bermakna tinggal kurang lebih 27 hari untuk aku bergelar Suami. Satu amanah yang besar dan berat untuk dipikul. Sebagai insan, hidup ini mesti mara ke hadapan. Itulah hakikat perjuangan kehidupan ini.

Syukur yang teramat ku panjatkan ke hadrat ILAHI atas anugerahnya. Kerana telah menemukan aku dengan seseorang untuk aku jadikan suri hidup ini. Itulah tandanya kekuasaan NYA tidak terjangkau dek akal kita yang kerdil ini. Maha Suci MU Ya ALLAH, KAU lah yang mengaturkan segalanya......

Sehingga ke hari ini, sahabat sahabat sekeliling aku, malahan adik beradik aku sendiri masih tertanya tanya bagaimanakah titik pertemuan aku dengan bakal isteri ku ini. Apa yang boleh aku katakan hanya, inilah takdir NYA.

Menyingkap seawal tahun 2011, sekitar bulan April atau Mei 2011...itulah pertemuan pertama kalinya aku dengan tunang ku ini di Sg. Petani Kedah DA. Seperti yang telah disepakati pertemuan pertama kami di sebuah restoran di sana. Iaitu Restoran Pizza Radix.

Sebelum itu, kami telah dipertemukan di alam maya, didalam sebuah sistem ukhwah di alam siber. Tetapi aku jelaskan sejelas jelasnya, ianya bukan di Face Book. Ini penting supaya kami tidak dikategorikan sebagai cinta muka buku.

Selang beberapa bulan, masa berlalu, perhubungan kami berdua menjadi agak cacamerba pada awalnya. Namun bila mana telah IA takdirkan....pada malam 31 Ogos 2011 aku menerima mesej darinya.......maka bermula episod cinta kami berdua. Selepas aku merenung sejauhnya.....atas faktor akhlak dan akidah aku membuat kuputusan yang terpenting dalam kehidupan ini...bersesuai dengan maksud hadis ini keputusan telah aku bulatkan dengan penuh keyakinan. Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, ia berkata; Rasullullah SAW bersabda : " Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kedudukannya atau keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya; Maka pilihlah yang baik agamanya, nescaya engkau beruntung... " 


Aku menyatakan hasrat dihati ini kepada ibu ku yang dikasihi selepas solat Asar, kalau tak silap pada 4 atau  5 Syawal 1432H. Ibu agak terkejut, namun beliau melihat kesungguhan aku...masa berlalu segalanya berjalan mengikut perancangan...masanya kian tiba. Hanya menanti saat dan ketikanya tarikh telah dipersetujui.

Sekitar September 2011 pertemuan kami buat kali ke 3, tujuan sebenar pertemuan adalah untuk membeli barangan persiapan untuk pertunangan kami. Di Masjid Jamek Kuala Lumpur, aku menzahirkan hasrat dihati secara bersemuka, sebagai seorang lelaki sejati.....dan pada 08 Oktober 2011 majlis pertunangan kami berlangsung di Kg. Pajak Song, Kepala Batas Pulau Pinang. Bermula dari tarikh itu berstatuslah aku " tunang orang ".

Masjid Jamek KL, berusia lebih 200 tahun. Masih teguh dan utuh.
Semoga cinta kami seteguhnya, sehingga ke akhir hayat kami berdua






Semoga ianya menjadi yang terbaik buat kami berdua. Aku bermohon ke hadrat MU Ya ALLAH, limpahi lah kami berdua dengan rahmat dan berkat MU. Berikanlah kami berdua kasih sayang kebahagian dan jodoh yang berkekalan sehingga ke akhir hayat kami berdua.

Buat tunang ku atau bakal isteri ku Fahimah Binti Ab. Hadi...abang tidak mampu dan berani untuk menjanjikan bulan dan bintang di langit. tetapi abang yakin untuk menjadi seorang imam yang baik buat keluarga kita. Insyaallah. Bersama lah kita harungi bahtera kehidupan ini dengan sabar, tabah dan redha. Ingatlah setiap apa yang terjadi itu ada sebabnya. Ianya dibawah kekuasaan NYA Yang Maha Kuasa. Hadapinya dengan senyuman, setiap yang terjadi pasti akan terjadi....semoga jodoh kita berkekalan sehingga sehingga ke akhir hayat. Renungkanlah kisah Saidatina Aishah dan anakanda kesayangan Baginda SAW iaitu Fatimah Az Zahra yang banyak menyingkap kisah perjuangan dan ketaatan seorang sang isteri. Apa yang penting bagi abang ialah " Dunia itu seluruhnya adalah perhiasan, sebaik baik perhiasan dunia adalah isteri yang solehah " hadis riwayat Imam Muslim

Warkah ini aku titipkan, sebagai satu kisah kenangan untuk kita singkap di suatu hari tua kita nanti. Buat kenangan mungkin untuk anak cucu cicit kita. Kenangan buat sahabat sahabat yang mengenali kita. Kerana kehidupan ini kita akan mara ke hadapan, meninggalkan hari ini untuk dijadikan kenangan silam. Kita sebagai insan akan berubah, namun biarkan sejarah kekal dalam lipatan silamnya dan tidak akan berubah.

Di akhir warkah ini, aku titipkan lagu ini khas buat bakal isteri ku yang di cintai.....semoga cinta dihati ini terus mekar dan segar senantiasa, biarpun usia meniti tua. Dengan rahmat dan berkat NYA bersama kita mengharungi bahtera kehidupan bersama di hari hari mendatang. Wassalam, syukran jazilan.

mamat's - PPR Batu Muda KL