ASSALAMMUALAIKUM…hari
ini 22 Julai 2012 bersamaan 02 Ramadhan 1433H. Ramadhan kembali lagi. Bulan
yang penuh rahmat dan berkat anugerah ALLAH SWT untuk kita umat Muhammad SAW.
Syukur ku panjatkan ke hadratnya kerana memberi ruang dan peluang buat aku
untuk menikmati Ramadhan tahun ini.
Sedari
atau tidak…bermakna telah 7 bulan usia gerbang perkahwinan aku. Alhamdulillah
isteri tercinta telah sarat mengandung tatkala ini berusia 5 bulan anak sulung
kami. Hati teramat riang bakal bergelar bapa.
Agak
lama aku tidak mencoretkan sesuatu di blog ini. Macam macam telah berlaku
sepanjang tempoh 7 bulan ini. Aku nukilkan seringkas mungkin segala kenangan
peristiwa yang telah berlaku sepanjang tempoh 7 bulan ini. Insyaallah sekiranya
berkesempatan akan aku sub tajukkan peristiwa kenangan itu dalam entri entri
mendatang.
Tatkala
ini aku dalam proses rawatan kimoterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya
(PPUM). Aku telah disahkan oleh doktor pakar menghidap kanser asofagus tahap 3
pada bulan Mac 2012 yang lalu. Aku dimasukkan ke wad Hospital Pakar Tawakal
Kuala Lumpur pada Mac yang lepas dan doktor mengesahkan ada ketumbuhan di
saluran makan ku dan ia diklasifikasikan sebagai Kanser Asofagus.
Hampir
3 bulan aku tidak boleh makan dan muntah muntah dan terlantar di rumah. Diet
aku sekadar susu bernutrisi tinggi yang disyorkan oleh pihak PPUM. Itulah ujian
dari NYA. Syukur kerana isteri tercinta berada disisi. Dalam usia seawal 3
bulan perkahwinan isteri ku tidak kekok serta tabah dan sabar melayan aku “
sang pesakit ”. Jauh disudut hati ini aku diulit seribu keresahan…apakah
kesudahannya. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahuinya.
Hari
ini selepas kitaran ke 3 menjalani rawatan kimoterapi, kesihatan aku telah
kembali stabil. Alhamdulillah aku boleh menikmati rezeki kurniaan NYA kembali,
muntah muntah telah tiada malahan aku diberikan kesempatan oleh NYA untuk
menunaikan ibadah puasa.
Namun
dari sudut fizikalnya, aku mengalami kesusutan yang amat ketara. Berat badan ku
kini sekitar 70kg sahaja berbanding dahulu sekitar 95kg. Manakala saiz pinggang
seluar ku kini ialah 36inci berbanding dahulu 40inci. Itulah yang telah terjadi
selepas hampir 3 bulan terlantar sakit.
aku |
Apa
pun aku amat bersyukur ke hadrat NYA dan redha akan ujian ini. Segala berlaku
atas keizinan dan kehendak NYA. Terima kasih yang teramat ingin aku kalungkan
buat semua sahabat handai yang datang menziarahi, adik beradik ku, ipar duai
ku, anak anak buah ku dan khasnya ibu tercinta serta kedua ibu mertua ku yang
senantiasa memberikan semangat buat aku sepanjang tempoh berkenaan.
Itulah
yang telah terjadi dalam liku hidup ku sekitar Mac 2012 sehingga ke hari
ini….mengimbau sekitar bulan Januari dan Februari 2012 pula aku ingin simpulkan
kisah manis berbulan madu kami.
Majlis
kenduri kahwin di pihak aku telah berlangsung pada 25 Disember 2011. Isteri ku
kini tidak lagi berkerja. Kerana faktor jarak lokasi adalah tidak berbaloi
beliau bekerja di tempat lamanya. Maka kami mengambil keputusan agar beliau
berhenti kerja sementara mencari peluang lain di sekitar Kuala Lumpur.
Kami
berbulan madu ke Bandung & Jogjakarta Indonesia selama 6 hari 5 malam di
sana. Alhamdulillah rezeki kurniaan NYA aku membawa isteri tercinta untuk
berbulan madu ke sana. Kami berangkat pada 12 Januari 2012 selama 3 malam di
Bandung kemudian menaiki keretapi membelah tanah jawa kami ke Jogjakarta untuk
2 malam di sana pula. Kami berangkat pulang ke tanahair pada 17 Januari 2012.
Sepanjang
bulan madu disana ianya amat indah sekali. Keindahan alam ciptaan ALLAH SWT di
tanah jawa sukar untuk dilupai. Asap tebal dari gunung berapi dari perut bumi
namun kesejukan dingin tetap dirasai sepanjang kami berada di Tangkuban Perahu.
Menikmati sajian jawa asli di Kampung Daun pasti akan mengamit untuk kesana
lagi.
Hari
ini selepas hampir 7 bulan berlalu….segalanya hanya tinggal kenangan. Menjadi
epik untuk dititipkan sebagai sebuah memori untuk hari mendatang. Hari ini aku
menyambut Ramadhan bermacam kelaianan. Tidak lagi bujang itu yang paling lain.
Kali ini segalanya berkongsi. Berkongsi dengan si isteri tercinta. Bersahur dan
berbuka bersama serta ditemani ibu ku.
Syukur
ku hadrat NYA atas kurniaannya ini. Pengalaman sepanjang tempoh sakit yang lalu
banyak mengajar aku erti sebuah ketabahan dan kesabaran. Betapa mensyukuri
nikmat NYA, setiap apa yang diaturkan dan diberikan kepada kita itu ada sebab
musababnya. Usahlah mengeluh. Nikmatnya makan, nikmatnya muntah, nikmatnya
proses pencernaan (buang air besar)….segala galanya ada nikmatnya tersendiri.
Insyaallah
kita bertemu dilain entri di blog aku ini. Ianya sebagai satu singkapan untuk
hari tua mengimbau sebuah memori silam. Perjalanan aku meniti kehidupan ini,
berliku dan kelam hanya DIA sahaja Yang Mengetahuinya. SALAM RAMADHAN 1433H dan
selamat menunaikan ibadah puasa buat semua muslimin yang membacanya. Wassalam
Merak
Kayangan
F-05-11
PPR Batu Muda